
Di Sebalik Kepok Kubur
Oleh: NURUL DINA HAZIQAH DALNI
Penyunting: FARAH IRDINA MIRKAIR
Kubur bukan sekadar tempat persemadian, tetapi lambang terakhir hubungan antara yang hidup dan yang telah kembali pergi menghadap sang Ilahi. Dalam masyarakat Melayu, wujud satu elemen unik yang sering menghiasi pusara iaitu kepok kubur. Kepok ini bukan sahaja berbentuk fizikal seperti dinding rendah mengelilingi kubur, malah ia turut sarat dengan makna budaya, emosi dan keagamaan. Walaupun terdapat perdebatan dalam kalangan ulama mengenai keharusan membina kepok kubur, penulisan ini akan meneliti fenomena tersebut dari sudut budaya yang menjadi sebahagian daripada warisan Melayu.
Secara sejarahnya, kepok kubur telah wujud dalam masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi. Ia dipercayai berasal daripada pengaruh adat dan seni bina tempatan yang menekankan aspek perlindungan dan penghormatan terhadap si mati. Dalam suasana kampung tradisional, pembinaan kepok kubur sering dilihat sebagai satu bentuk penandaan tempat persemadian yang tetap dan dikenali oleh ahli keluarga dan masyarakat. Bahkan, reka bentuknya yang ringkas tetapi signifikan menunjukkan hubungan antara budaya hidup dan budaya kematian dalam masyarakat Melayu.
Encik Fadzil menunjukkan proses pembuatan kepok kubur
Nilai Kepok Kubur
Muhamad Fadzil Bin Jantan yang berusia 48 tahun atau mesra disapa sebagai Encik Fadzil merupakan pemilik Budak Kubur Enterprise, sebuah perniagaan yang mengusahakan kepok kubur di kawasan Teras Jernang, Bangi. Beliau memiliki pengalaman hampir 15 tahun sebagai tukang kepok kubur. Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan seorang tukang gali kubur di samping menjadi pengusaha kepok kubur. Berbekalkan pengalaman yang dimiliki, beliau mempunyai pandangan tersendiri berkenaan budaya kepok kubur di mata masyarakat. Menurut beliau, kepok kubur merupakan sebuah bentuk penjagaan dan penghormatan kepada si mati. Kebiasaannya, waris tidak mahu kubur insan tersayang ditenggelami tanah atau hilang ditelan masa. Maka, di sinilah budaya Melayu menonjolkan rasa tanggungjawab dan kasih sayang yang melangkaui hayat melalui kepok kubur di atas pusara.
Walaupun kepok kubur hanyalah sekadar batu simen yang mengelilingi pusara, terdapat nilai yang tinggi terkandung pada kepok kubur. Menurut Encik Fadzil, masyarakat pada hari ini sering memandang remeh terhadap perniagaannya. Tanpa disedari, pembinaan kepok kubur memerlukan kos pembuatan yang tinggi sehingga mampu mencecah ribuan ringgit.
Selain nilai simbolik dan estetik, kepok kubur juga mempunyai nilai ekonomi yang tersendiri. Kos untuk membina sebuah kepok kubur bukanlah murah. Untuk kepok kubur biasa
Contoh kepok kubur yang belum siap sepenuhnya menggunakan bahan Terrazzo
Syarat Dalam Kepok Kubur
Penghasilan kepok kubur bukanlah sesuatu yang boleh dibuat mengikut kehendak pelanggan semata-mata. Encik Fadzil sebagai pengusaha kepok kubur menegaskan bahawa penghasilan serta pemasangan kepok kubur mempunyai syarat dan undang-undang yang harus dipatuhi.
Menurut beliau, saiz dan warna kepok kubur tertakluk kepada undang-undang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Misalnya, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) menetapkan bahawa pemasangan kepok kubur perlu mengikut piawaian yang ditetapkan seperti warna kepok kubur hanyalah berwarna putih dengan saiz standard lebar 3 kaki dan panjang 6 kaki sahaja.
Peraturan ini wujud bagi memastikan keseragaman kawasan tanah perkuburan. Namun begitu, syarat atau peraturan berkenaan kepok kubur berbeza di setiap negeri yang tertakluk kepada pihak berkuasa negeri masing-masing.
Encik Fadzil memberi penerangan secara terperinci tentang proses pembuatan kepok kubur
Pengalaman Sebagai Tukang Kepok Kubur
Dalam hal ini, Encik Fadzil sempat berkongsi beberapa pengalaman beliau sebagai tukang kepok kubur selama hampir 15 tahun. Sebelum menjalankan perniagaannya sendiri melalui Budak Kubur Enterprise, beliau sempat bekerja sebagai pekerja kepok kubur dengan syarikat lain untuk mengumpul ilmu dan pengalaman dalam bidang ini.
Encik Fadzil menceritakan bahawa beliau pernah terlibat dalam proses penghasilan dan pemasangan kepok kubur bagi orang-orang ternama seperti golongan kerabat diraja serta seniman-seniman negara — Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Saloma.
Bagi beliau, proses pemasangan kepok kubur bagi golongan kerabat diraja memiliki protokol yang harus dipatuhi. Contohnya, mereka yang bertugas dalam pemasangan kepok kubur kerabat diraja perlu memakai baju melayu berwarna hitam sebagai kod etika pemakaian.
Kepok kubur hasil Budak Kubur Enterprise yang dipasang di kawasan tanah perkuburan Islam Kg. Teras Jernang
Tradisi Budaya Kepok Kubur
Walaupun ada kalanya budaya kepok kubur menjadi perdebatan di sisi agama, namun ianya bukan semata-mata “batu” yang menghiasi pusara. Bukan juga tentang “betul” atau “salah”. Kepok kubur menjadi sebuah bentuk warisan budaya yang berfungsi sebagai dokumentasi fizikal yang mencatat corak hidup dan nilai dalam masyarakat Melayu.
Budaya Melayu yang penuh santun dan kasih sayang terhadap yang telah pergi sememangnya baik. Namun begitu, prinsip Islam yang mementingkan kesederhanaan dan larangan pembaziran perlu seimbang dengan konteks budaya yang bersifat memelihara dan menjaga warisan.
Adat tidak perlu ditolak sekeras-kerasnya, tetapi harus dinilai secara mendalam mengikut syariat. Kepok kubur bukanlah simbolik untuk menunjuk kemewahan dan status dalam kematian. Biarlah kepok kubur di atas pusara itu menjadi lambang kerendahan diri di hadapan Tuhan dan tanda kasih sayang daripada keluarga untuk si mati buat selamanya.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.