
Festival Mahrajan UKM tekankan Hijrah dan Cinta Rasul
18 MEI 2025
Oleh: NURUL FASIHAH ATIYAH ABDULLAH
Penyunting: NADRAH ATHIRAH SHAMSULHAIRY
Sekitar majlis yang dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh UNIC.
BANGI, 18 Mei – Sekitar 500 orang pengunjung telah menghadiri Mahrajan: Hijrah Insan, sebuah festival kesenian Islam yang dianjurkan oleh Kelab Iqra’, Kolej Ungku Omar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Festival berteraskan Islam ini diadakan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar universiti, terhadap nilai dan ajaran Islam menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan jiwa anak muda.
Menurut Pengarah Program, pelajar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Humairah Fazrin, tujuan festival ini diadakan ialah untuk menyampaikan mesej dakwah melalui medium seni dengan mengetengahkan tema penghijrahan dalam Islam.
“Terdapat lima pertandingan utama yang menjadi tumpuan dan tarikan orang ramai sepanjang festival ini berlangsung iaitu Huffaz Qowiyyun (Hafazan), Juara Huruf Tradisi (Jawi), Qiratus Saabie (Tilawah Al-Quran), Nasyrul Khair (Daie), dan Simfoni Iman (Nasyid),” katanya.
Antara pengisian menarik lain festival tersebut ialah dengan penampilan selebriti terkenal, Zizi Kirana bagi sesi Hijrah Talk, malam berselawat bersama kumpulan qasidah Ittihad, program Subuh Macam Raya, serta persembahan khas daripada kumpulan nasyid terkenal UNIC pada malam penutup.
“Alhamdulillah, kehadiran pengunjung menepati jangkaan awal kami iaitu di antara 400 hingga 500 orang bagi memeriahkan majlis ini. Kebanyakannya terdiri daripada pelajar UKM, namun terdapat juga penyertaan dari universiti lain seperti Universiti Malaya (UM) serta orang awam,” tambahnya.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran lima orang tetamu kehormat termasuk Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Yang Berhormat Tuan Haji Mazwan Johar, Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Madya TS. Dr Darman Nordin , Timbalan Pengetua Kolej Ungku Omar, Dr. Meor Iqram Meor Ahmad dan Felo Kanan Kolej Ungku Omar, Muhammad Muhsin bin Kalilur Raheem serta wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) yang turut hadir menyaksikan pertandingan Nasyrul Khair.
Mengakhiri temubual, Humairah selaku pengarah program menyatakan harapannya agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skala yang lebih luas.
“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas daripada para pelajar dan pengunjung. Semoga ia terus menjadi platform yang menyatukan seni dan nilai Islam secara harmoni, serta menyemarakkan dakwah melalui pendekatan yang kreatif dan dekat dengan masyarakat khususnya golongan muda,” katanya.
Berita Tambahan
Oleh IMAN SALSABILA | 5 APRIL 2025
Oleh MASMIRA JEFRI | 1 APRIL 2025
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.