FLY-PMFSSK BERI PELUANG TEROKA BUDAYA DAN PENDIDIKAN DI TURKIYE

Oleh: FARAH IRDINA MIRKAIR

Penyunting: NURUL DINA HAZIQAH DALNI

Peserta FLY-PMFSSK berkumpul di KLIA sebelum berlepas ke Istanbul, Turkiye.

Turkiye merupakan sebuah negara yang unik kerana kedudukannya yang terletak di persimpangan antara benua Asia dan Eropah. Kaya dengan sejarah tamadun silam seperti Empayar Uthmaniyah dan Bizantium, negara ini terkenal dengan kepelbagaian budaya, seni bina yang mengagumkan serta warisan Islam yang mendalam. Sejak sekian lama, Turkiye menjadi jambatan pertemuan antara Timur dan Barat, bukan sahaja dari segi geografi, malah dalam aspek sosial, ekonomi dan politik. Gabungan elemen tradisional dan moden inilah yang menjadikan Turkiye sebagai sebuah destinasi yang penuh dengan daya tarikan dan signifikan dalam konteks antarabangsa pada masa kini. Oleh itu, Turkiye telah dipilih sebagai destinasi pilihan bagi program FLY-PMFSSK edisi yang kedua, sebuah program antarabangsa anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK). 

Program ini lebih daripada sekadar lawatan akademik. FLY-PMFSSK Turkiye berfungsi sebagai satu platform yang berkuasa buat mahasiswa yang terpilih untuk menyelami budaya asing, meneroka landskap pendidikan tinggi di luar negara, dan (serta) membuka jalan untuk potensi kerjasama antara Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan institut pengajian tinggi di Istanbul, Turkiye. Untuk edisi kali ini, Universiti Istanbul dan Universiti Ibn Haldun telah dipilih sebagai destinasi utama untuk pasukan FLY-PMFSSK Turkiye.

Peluang Buat Peserta Berprogram di Luar Negara 



Sesi pertukaran cenderamata antara PMFSSK dan Pejabat Hubungan Antarabangsa Universiti Ibn Haldun. 

Apa yang menjadikan pengalaman itu lebih bermakna adalah keputusan untuk memberikan setiap peserta autonomi penuh ke atas perancangan dan pelaksanaan keseluruhan program. Kepercayaan sepenuhnya yang diberikan kepada mahasiswa untuk menguruskan segala aspek program telah melahirkan satu bentuk pembelajaran kendiri yang amat bernilai. Bermula daripada merangka jadual perjalanan dan menghubungi institusi antarabangsa hingga menguruskan logistik perjalanan, setiap butiran dikendalikan oleh mahasiswa sendiri. Semua yang dilalui ini merupakan pengalaman kepimpinan yang sebenar, sesuatu yang tidak akan diperoleh di dalam dewan kuliah. 

Yang lebih membanggakan lagi apabila pasukan ini berjaya merealisasikan satu lawatan rasmi ke Pejabat Hubungan Antarabangsa Universiti Ibn Haldun, sebuah institusi pendidikan yang berprestij di Turkiye yang berteraskan pendidikan dalam bidang sains sosial. Satu perbincangan mengenai potensi kerjasama antara FSSK dan Universiti Ibn Haldun telah diadakan melalui Dr. Enes Yalman, Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa Universiti Ibn Haldun pada ketika itu. 

Menyelami Budaya Turkiye yang Kaya dengan Nilai Sejarah


Lokum & Hagia Sophia — Antara keunikan dan tinggalan sejarah di Turkiye.

Sepanjang di Istanbul, para peserta diraikan bukan sahaja oleh dinginnya cuaca, tetapi juga kehangatan budaya Turkiye itu sendiri. Mereka berpeluang merasai keenakan makanan tradisional seperti kebab, lokum, baklava dan çay, serta menyelami warisan seni pertukangan tempatan. Lokum, atau lebih dikenali sebagai Turkish Delight, diperbuat daripada campuran gula, kanji, air mawar, limau atau perisa semula jadi lain, dan seringkali dihiasi dengan kacang seperti pistachio atau walnut. Ia mempunyai tekstur yang lembut dan kenyal, serta biasanya dipotong dalam bentuk kiub kecil dan disaluti dengan gula aising. Fakta menarik mengenai lokum ialah ia telah wujud sejak abad ke-18 dan dahulunya dianggap sebagai simbol kemewahan yang dihidangkan dalam kalangan bangsawan Uthmaniyyah. 

Baklava pula merupakan pastri berlapis yang dihasilkan daripada doh filo yang nipis dan rangup, diisi dengan lapisan kacang kisar seperti pistachio atau walnut, kemudian disiram dengan sirap gula atau madu. Keunikan baklava terletak pada teknik penyediaannya yang memerlukan ketelitian tinggi untuk menghasilkan lapisan yang sempurna dan seimbang antara manis dan lemak dari mentega. Di Turkiye, kedua-dua lokum dan baklava sering dihidangkan bersama çay (teh), yang merupakan minuman kegemaran rakyat Turki. Menghidangkan manisan bersama çay bukan sahaja menyeimbangkan rasa manis dengan kepahitan lembut teh, tetapi juga mencerminkan budaya masyarakat Turkiye yang sangat ramah dengan tetamu mereka. Lazimnya, tetamu yang bertandang ke rumah akan disambut dengan secawan çay dan sepinggan kecil lokum atau baklava sebagai tanda penghargaan dan mesra. 

Para peserta turut dibawa melawat beberapa buah masjid bersejarah yang menjadi lambang kegemilangan empayar Uthmaniyyah, seperti Masjid Biru dan Hagia Sophia. Seni bina yang megah dan penuh nilai sejarah itu bukan sahaja membuka mata peserta terhadap keindahan Islam di Turkiye, malah turut membangkitkan rasa kagum terhadap ketamadunan yang pernah menguasai separuh dunia suatu ketika dahulu. Kedua-dua Hagia Sophia dan Masjid Biru terletak bersebelahan di kawasan Sultanahmet, menjadikan kawasan ini sebagai pusat sejarah dan spiritual yang penting di Turkiye. Ia bukan sahaja menonjolkan kebesaran seni bina dan kejuruteraan zaman silam, tetapi juga menjadi saksi kepada pertembungan dan perpaduan antara dua tamadun besar dunia, iaitu Kristian Byzantine dan Islam Uthmaniyyah. 

FLY-PMFSSK: Satu Inisiatif yang Harus Dikekalkan


Secara keseluruhannya, program FLY-PMFSSK Turkiye bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya, malah membuka satu dimensi baharu dalam pembangunan mahasiswa, di mana bakat pengurusan program antarabangsa dapat diasah dengan sebaiknya dan turut membentuk rasa hormat yang tinggi dalam kalangan setiap mahasiswa yang terlibat terhadap budaya asing. Sepanjang program ini berlangsung, peserta bukan sekadar memperoleh ilmu baharu berkaitan sistem pendidikan, budaya dan struktur sosial di Turkiye, tetapi juga mengasah keupayaan dalam pengurusan program berskala antarabangsa yang melibatkan aspek perancangan, logistik, komunikasi lintas budaya dan juga kepimpinan. Lebih daripada itu, ia membuktikan bahawa mahasiswa bukan sekadar pewaris ilmu, tetapi juga duta kecil negara yang membawa harapan kepada hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara luar pada masa hadapan. 

Melihat kepada impak positif dan nilai tambah yang besar terhadap pembangunan kendiri setiap peserta, adalah menjadi harapan yang tinggi agar inisiatif FLY-PMFSSK ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi untuk edisi yang seterusnya. Program ini wajar dijadikan sebagai program tahunan yang mendapat sokongan berterusan daripada pihak fakulti, universiti dan juga rakan strategik di luar negara. Dengan kesinambungan program ini, lebih ramai mahasiswa dapat merasai pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah dan seterusnya melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga matang dari segi pemikiran global, bersikap inklusif serta mampu berperanan dalam membina jaringan diplomatik yang positif antara Malaysia dan masyarakat antarabangsa.


Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.