
Keretapi Sarong, Kebaya Bangkit Semula
Oleh: NURASYIQIN FIRZANA MOHAMED YUNUS
Penyunting: ARIF DANIAL MOHD YUSSARDI
Gambar oleh Instagram potret_seni_.
Setiap kali menjelang 16 September, bukan sesuatu yang luar biasa lagi untuk melihat ribuan rakyat Malaysia memenuhi stesen-stesen pengangkutan awam dengan semangat kebangsaan dalam pelbagai bentuk. Satu gerakan budaya yang tampil berbeza — bukan dalam bentuk perarakan formal atau wacana akademik, tetapi dalam bentuk sebuah acara penuh warna, warisan dan gaya: Keretapi Sarong.
Acara yang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Keretapi Sarong, bukan sekadar acara sambutan Hari Malaysia biasa. Ia adalah acara berkonsep ‘flash mob’ yang menggabungkan budaya dan warisan melalui rangkaian pengangkutan awam. Dianjurkan oleh organisasi bukan kerajaan (NGO), LOCCO sejak tahun 2017, inisiatif bertujuan menyemarakkan dan mengangkat semangat cinta akan budaya dalam kalangan masyarakat.
Setiap tahun, ribuan peserta daripada pelbagai latar belakang akan memakai pakaian tradisional seperti baju Melayu, baju kurung, pakaian etnik, dan pastinya — kebaya, lalu berkumpul menaiki LRT, MRT atau KTM menuju ke satu lokasi rahsia, yang menjadi tradisi Keretapi Sarong yang akhirnya menjadi tapak persembahan budaya, nyanyian lagu rakyat, dan tarian tradisional.
Menurut Pengarah Keretapi Sarong dan Pengasas bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, “Keretapi Sarong bukan sekadar sebuah acara, sebaliknya satu platform di mana tradisi bertemu kemodenan, menyemai perpaduan dan rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Sebagai wartawan Nadi Bangi serta salah seorang peserta yang pertama kali menyertai acara ini pada tahun 2023, saya sendiri dapat merasai kemeriahan yang sukar digambarkan. “Saya amat bangga dapat sertai dan apabila berada di dalam tren tu, suasana sangat meriah, semua orang senyum, menyanyi lagu rakyat sama-sama, dan pakaian masing-masing cantik dan berwarna-warni. Tapi yang paling kuat saya rasa adalah semangat perpaduan tu — tak kira kaum, umur atau asal-usul, semua macam satu keluarga. Kalau ada lagi, memang saya nak sertai dan memang dinanti-dinantikan.”
Kebaya Bukan Lagi Milik Almari Nenek
Antara pakaian yang paling menyerlah dalam Keretapi Sarong ialah kebaya, khususnya kebaya nyonya. Di dalam gerabak keretapi, kebaya disarung dengan penuh gaya dan cara tersendiri: ada yang memadankannya dengan selendang lama milik ibu, ada pula yang memodenkan penampilan dengan aksesori kontemporari. Apa pun caranya, mesej yang dibawa tetap sama: kebaya kekal relevan, dan menjadi lambang kecantikan wanita Malaysia.
Penulis sendiri melihat satu detik yang sangat menyentuh hati dimana sekumpulan wanita berusia lengkap berbaju kebaya nyonya, menari beramai-ramai di stesen tren sambil disambut sorakan orang ramai. Wajah mereka berseri-seri, penuh dengan gelak tawa dan senyuman. Satu ekspresi yang tidak dapat diungkap pada saat itu, terbukti bahawa kebaya bukan sekadar busana lama, tetapi lambang identiti, kecantikan dan warisan yang hidup. Saat itu, saya benar-benar tersentuh — kebaya bukan lagi milik almari nenek, tetapi simbol warisan terus hidup.
Menurut Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif (Seni Reka Teknologi Fesyen), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Encik Khalik Mustafa, “salah satu rekaan yang kekal digemari sehingga kini ialah kebaya nyonya yang terkenal dengan sulaman tebuk halus. Kebaya sering dipadankan dengan kain batik, tetapi kini ia ‘dikontemporarikan’ dengan seluar untuk disesuaikan dengan gaya moden.”
Transformasi ini menunjukkan bahawa kebaya masih relevan. Kebaya itu sendiri bukan sekadar baju, malah ia adalah seni iaitu dihiasi dengan aksesori yang memperlihatkan kehalusan dan keanggunan untuk para wanita. Ini membuktikan lagi bahawa warisan seperti kebaya tidak ketinggalan zaman, tetapi boleh dipersembahkan dalam konteks baharu yang inklusif, segar, dan penuh identiti.
Kebangkitan semula minat terhadap kebaya juga memberi impak positif kepada industri kreatif tempatan. Tukang jahit kebaya, pembuat aksesori tradisional, malah pereka fesyen muda semakin banyak menerima permintaan menjelang acara ini. Secara tidak langsung, Keretapi Sarong bukan sahaja memartabatkan budaya, malah juga menyokong ekonomi warisan.
Budaya Bergerak, Warisan Diteruskan
Apa yang menjadikan Keretapi Sarong benar-benar istimewa bukanlah lokasinya, atau baju siapa paling cantik, tetapi bagaimana ia berjaya menjadikan warisan sebagai sesuatu yang boleh dipegang, dipakai, dan diraikan bersama-sama — tanpa paksaan dan protokol.
Bila generasi muda mula rasa bangga memakai kebaya, bila kanak-kanak menari zapin, joget bersama di platform keretapi, bila orang dewasa dari pelbagai kaum bertegur sapa tanpa rasa kekok — itulah bukti bahawa warisan kita masih hidup.
Keretapi Sarong bukan sekadar acara tahunan, tetapi ia adalah satu trend budaya yang sedang bergerak ke hadapan, dengan membawa bersama nilai-nilai lama yang masih berharga. Di sinilah keunikan Malaysia tergambar secara nyata — perpaduan yang tidak dipaksa, tetapi diraikan secara spontan dan penuh gembira.
Dan mungkin, ini juga satu peringatan untuk kita semua: jati diri bukan sesuatu yang diwarisi semata-mata, tetapi sesuatu yang mesti dihidupkan bersama. Sebagaimana keretapi yang terus meluncur di atas landasan, budaya dan warisan kita juga harus terus bergerak ‒ bukan ke belakang, tetapi ke hadapan dengan penuh bangga.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.