
Kisah Kebangkitan Saudagar Nanas, Mewarnai Dunia Pertanian dan Agro Pelancongan Desa
Oleh: SHURENDAR KANNATHASAN
Penyunting: NUR FATIN NURINA BAHARUDDIN
Encik Hardy pengasas Saudagar Nanas- FMS Production
Di sebalik aroma manis nanas yang menyambut pengunjung di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, tersembunyi kisah luar biasa tentang seorang usahawan yang bangkit daripada kejatuhan hidup untuk membina empayar nanas yang kini dikenali ramai Saudagar Nanas Agrofarm. Ladang ini bukan sekadar pusat pertanian moden, malah menjadi destinasi agro-pelancongan yang unik dan semakin mendapat tempat di hati pelancong dalam dan luar Lembah Klang.
Mohd. Noorhardy Mohd. Noorzain, atau lebih dikenali sebagai abang Hardy, memulakan perniagaan dengan menjual nanas secara kecil-kecilan selepas pulang dari menunaikan Umrah. Ketika itu, beliau sedang menghadapi kemurungan dan kegagalan dalam perniagaan terdahulu.
Beliau memilih nanas jenis MD2 kerana rasanya yang manis dan tidak ‘lidas’, selain berpotensi tinggi dalam pasaran tempatan. Dengan bantuan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), beliau menerima benih berkualiti dan menyertai kursus asas tanaman nanas. Dengan tekad dan disiplin yang tinggi, beliau mengusahakan tanaman di atas tanah warisan keluarga,
yang kini telah berkembang kepada 14 ekar cukup untuk memenuhi sebahagian daripada permintaan harian di kafenya sendiri.
Agrotourism dan Pendidikan Komuniti
Kini, Saudagar Nanas Agrofarm menjadi tarikan agrotourism yang menawarkan lebih daripada sekadar buah nanas. Pengunjung bukan sahaja boleh menikmati hasil pertanian segar, malah turut disajikan dengan lawatan pendidikan ke ladang, pameran nanas hiasan (ornamental pineapple), dan galeri interaktif berkaitan penggunaan semula buangan nanas secara lestari.
Ladang nanas MD2 seluas 14 ekar menjadi kebanggaan komuniti di Sungai Merab- FMS Production.
Sebagai contoh, pengunjung dapat melihat bagaimana daun nanas diproses menjadi serat tekstil, dan kulit nanas dijadikan baja kompos satu bentuk pendekatan zero waste yang semakin mendapat perhatian dalam pertanian moden. Ladang ini juga menyediakan laluan khusus untuk lawatan berkumpulan termasuk pelajar dan pelancong luar yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai proses penanaman nanas, pemprosesan produk hiliran, dan inisiatif kelestarian yang dijalankan di ladang.
Pemasaran Organik dan Inovasi Kreatif
Saudagar Nanas mengaplikasikan strategi pemasaran yang unik dan kos rendah. Tanpa menggunakan khidmat pempengaruh, abang Hardy menekankan pemasaran secara organik dengan mencipta pelbagai ‘spot OOTD’ seperti buaian, arca buah nanas gergasi, dan sudut tanaman hiasan yang menarik minat pengunjung untuk bergambar dan berkongsi di media sosial mereka. Selain itu, beliau juga mengatakan lebih baik berkembang secara organik dan servis kita boleh kekal konsisten bila orang datang secara berperingkat, bukan mendadak.
Namun, beliau turut mengakui bahawa kejayaan ini tidak datang tanpa cabaran. Isu seperti mengekalkan standard operasi (SOP), pengurusan staf, rasa makanan yang konsisten, serta keperluan berinovasi secara berterusan merupakan antara tekanan utama dalam menguruskan perniagaan ini.
Produk Eksklusif dan Impian Menembusi Pasaran Antarabangsa
Salah satu tarikan utama ladang ini ialah kafe ladang yang menyajikan pelbagai produk berasaskan nanas seperti pineapple cheesecake, tart nanas, pineapple cookies, dan kek lapis nanas. Semua produk ini kini dihasilkan secara dalaman selepas isteri beliau mengikuti latihan dalam bidang pastri
Pelbagai pilihan pastri dan pencuci mulut berasaskan nanas yang eksklusif hanya di Saudagar Nanas-- FMS Production
Kini, beliau merancang untuk membina galeri bakeri bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mempromosikan produk tempatan kepada pelawat. Lebih membanggakan, abang Hardy turut bekerjasama dengan MARDI bagi memastikan produknya boleh dipasarkan ke luar negara seperti Jepun dan Korea dalam tempoh empat tahun akan datang.
Pesanan Buat Generasi Muda
Abang Hardy juga menitipkan nasihat yang bermakna buat generasi muda: “Tingkatkan soft skill. Kalau tak dapat kerja dalam bidang yang kita belajar, jangan tunggu. Pertanian adalah pilihan kerjaya kedua yang sangat berpotensi – makanan takkan pernah cukup.”
Beliau turut menggesa agar anak muda menyertai kursus pertanian dan memanfaatkan pelbagai bantuan kerajaan seperti geran Agro Muda yang kini telah dinaikkan kepada RM30,000. Menurut beliau, sektor pertanian bukan lagi kerja “kampung”, malah kini diperkasa dengan teknologi dan inovasi.
Saudagar Nanas Agrofarm bukan sekadar ladang nanas. Ia adalah lambang ketabahan, inovasi dan kebangkitan semula seorang insan yang pernah rebah dalam hidupnya. Kisah abang Hardy membuktikan bahawa dengan iltizam, keberanian dan sedikit dorongan, sesiapa sahaja mampu mengubah nasib mereka. Nanas bukan lagi sekadar buah tropika ia kini menjadi simbol perjuangan dan inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.