Parlimen Mahasiswa Desak Tindakan Tegas Isu Jual Beli Bilik Kolej di UKM
18 MEI 2025
Oleh: SHURENDAR KANNATHASAN
Penyunting: FARAH IRDINA MIRKAIR
Sumber: Media Parlimen Mahasiswa
BANGI, 18 Mei –Isu penjualan bilik kolej kediaman secara tidak sah dalam kalangan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kembali dibangkitkan dalam Sidang Parlimen Mahasiswa Ke-10 yang berlangsung pada Ahad lalu.
Usul tersebut yang pertama kali dikemukakan oleh Muhammad Haikal bin Hamidi, Ketua Eksekutif Kolej Pendeta Za’ba dalam sidang ke-9 , disuarakan semula oleh Presiden Kelab Engima, Saudara Chin Guan Rong, pelajar tahun dua Fakulti Undang-Undang yang menekankan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar dan ketelusan sistem penempatan kolej.
Pengerusi Jawatankuasa Teras Kolej dan Residensi Luar, Nur Anis Syahirah Mohd Azli memaklumkan bahawa isu ini telah dibincangkan bersama Pusat Perumahan Pelajar (PPP) UKM dan penyelarasan telah dibuat ke semua kolej kediaman.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu borang aduan rasmi melalui Google Form telah diedarkan kepada pelajar bagi membolehkan laporan berkaitan aktiviti jual beli bilik dibuat secara mudah dan sulit.
Susulan perbincangan tersebut, pihak PPP memberi maklum balas bahawa pelajar yang didapati bersalah terlibat dalam urusan penjualan bilik akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan bilik kolej atau residensi luar.
Dalam sesi perbahasan, Nur Anis turut menegaskan keperluan semua pihak untuk bertindak segera dan menyeru pelajar supaya tampil membuat aduan. “Kalau jual bilik kat orang luar, pelajar UKM kita nak tinggal di mana?” katanya dalam nada tegas.
Parlimen Mahasiswa turut mencadangkan beberapa langkah susulan antaranya kempen kesedaran kepada pelajar Tahun 1, hebahan maklumat rasmi tentang peraturan penempatan bilik, pemeriksaan berkala oleh Majlis Eksekutif Pelajar, serta penguatkuasaan tindakan tatatertib dan langkah-langkah ini diambil bagi memastikan proses penempatan bilik kekal telus, adil dan tidak disalah guna oleh pihak tertentu.
Pelajar turut menyambut baik inisiatif ini. Heerina Vengdesa Perumal, pelajar tahun dua Fakulti Undang-Undang, berkata beliau pernah menerima tawaran membeli bilik dengan bayaran RM900 tanpa surat rasmi. “Saya tolak sebab tahu itu tak betul, tapi ada ramai pelajar lain yang mungkin tak sedar mereka diperdaya,” katanya. Parlimen Mahasiswa dijangka akan mengemukakan kertas cadangan rasmi kepada pihak pengurusan universiti bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan segera demi melindungi kebajikan dan keselamatan pelajar.
Berita Tambahan
Oleh WAN ALYA NABILAH | 22 APRIL 2025
Oleh ARIF DANIAL YUSSARDI | 15 ME 2025
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.