
Pelajar Tahun Akhir Taylor’s University Mempamerkan Busana Rekaan Sendiri
19 APRIL 2025
Oleh: LUQMAN HAKIM BIN ZULKIFLI
Penyunting: SYAHERAH AZMI
Barisan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Seni Reka Fesyen bersama dengan Naib Canselor Taylor’s University Professor Barry Winn di atas pentas The Show Genesis. – Gambar: Luqman Hakim Zulkifli
KUALA LUMPUR: Seramai tujuh pelajar tahun akhir dari Taylor’s University mempamerkan rekaan baju mereka di pameran fesyen The Show Genesis bertempat di Aurum Theatre, The Exchange TRX semalam.
Pameran ini menampilkan 42 busana daripada tujuh koleksi baharu karya pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Teknologi Seni Reka Fesyen.
Salah seorang pelajar tahun akhir Danish Hakeem berkata, koleksi mereka pada kali ini telah mengambil masa setahun untuk disiapkan dari proses lakaran awal hingga ke busana akhir.
“Segala proses rekaan koleksi kami kali ini telah mengambil masa setahun untuk disiapkan. Kami dikehendaki untuk menghasilkan sekitar 150 hingga 200 lakaran. Selepas itu, kami beralih kepada proses penyesuaian dan penyempurnaan reka bentuk.”
Model memperagakan busana rekaan pelajar tahun akhir. – Gambar: Luqman Hakim Zulkifli
Danish turut berkata meskipun keseluruhan proses ini amatlah mencabar dan memerlukan tahap komitmen yang tinggi, namun hasil yang diperolehi adalah berbaloi.
Sementara itu, Enya Chok yang telah dinobatkan sebagai Most Promising Designer berkata cabaran terbesar dalam menyiapkan koleksinya adalah mencari fabrik yang tepat.
“Fabrik saya diilhamkan daripada tekstil di rumah ketika waktu kecil dahulu, jadi saya perlu berusaha lebih untuk mencari material dengan corak yang betul dan memadankannya.”
Enya berkata, “Koleksi saya kali ini menceritakan tentang bagaimana seseorang itu menghadapi kepayahan ketika kecil dan perlahan-lahan menemui jalan keluar.”
Beliau juga menasihati agar pelajar jurusan fesyen di luar sana tidak terlalu memaksa diri dalam bekerja.
“Bila ia terasa sukar, berehatlah dan renung kembali sebab kenapa anda memilih untuk berada di sini pada mulanya,” ujarnya.
Pameran The Show Genesis edisi kali ini menerima kehadiran lebih kurang 120 tetamu dan turut dihadiri oleh Naib Canselor Taylor’s University Professor Barry Winn.
Enya Chok ketika menerima anugerah Most Promising Designer. – Gambar: Luqman Hakim Zulkifli
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.