
Penyakit Eczema tidak Boleh Dipandang Ringan
Oleh: NURUL FASIHAH ATIYAH ABDULLAH
Penyunting: NADRAH ATHIRAH SHAMSULHAIRY
Sumber: Nurul Izzah, pesakit ekzema Keadaan kulit pesakit ekzema
Punca dan Faktor Penyumbang
Ekzema terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara punca utamanya keturunan. Jika seseorang itu mempunyai ahli keluarga yang mempunyai sejarah penyakit asma atau alahan, mereka lebih cenderung untuk menghidap ekzema. Selain itu, faktor luaran seperti habuk, cuaca panas dan kering, serta penggunaan sabun atau detergen yang mengandungi peratusan bahan kimia yang tinggi juga boleh menyebabkan ekzema. Tekanan atau stres juga boleh membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.
Namun, persoalannya, adakah masyarakat kita benar-benar faham bahawa ekzema ini bukan sekadar masalah kulit semata-mata, tetapi turut melibatkan sistem imun dan kesihatan badan secara keseluruhan? Ramai orang masih beranggapan bahawa ekzema berpunca daripada kurangnya penjagaan kebersihan tubuh badan, sedangkan itu tidak benar. Salah faham seperti inilah yang sering membuatkan pesakit rasa rendah diri dan malu dengan orang di sekeliling mereka.
Kesan Terhadap Pesakit
Pesakit yang menghidap ekzema kerap berhadapan dengan kedua-dua penderitaan fizikal dan juga emosi dimana mereka kerap mengalami gatal-gatal yang berterusan, sukar untuk tidur pada waktu malam, serta rasa tidak selesa ketika melakukan tugasan harian mereka. Penampilan dan keyakinan diri seseorang juga boleh dipengaruhi oleh kulit yang rosak atau berparut.
Bagi kanak-kanak pula, mereka sering menjadi mangsa ejekan atau buli kerana kulit mereka yang kelihatan berbeza daripada kanak-kanak normal. Hal ini boleh menyebabkan kesan psikologi yang berpanjangan seperti trauma atau hilang keyakinan diri. Oleh itu, sokongan daripada keluarga, guru dan rakan sangat penting untuk membantu mereka menghadapi cabaran ini.
Rawatan dan Cara Menangani Eczema
Walaupun tiada rawatan untuk ekzema, terdapat banyak cara untuk menguruskan dan mengurangkan gejalanya. Contohnya, menggunakan krim steroid, pelembab dan ubat anti-gatal. Pesakit juga digesa untuk menggunakan produk penjagaan kulit yang bebas daripada bahan kimia dan bau, meminimumkan tekanan, dan mengekalkan diet yang seimbang. Oleh itu, pesakit perlu tahu apa yang menyebabkan episod ekzema dan cara yang mereka boleh lakukan untuk menjaga kulit mereka. Selain itu, memandangkan ekzema tidak berjangkit, masyarakat umum juga perlu dididik untuk mengelak atau menghina orang yang menghidapnya.
Kesedaran tentang ekzema amat penting bagi mengelakkan stigma sosial terhadap pesakit. Ibu bapa juga perlu peka dengan simptom awal ekzema pada anak mereka supaya dapat dirawat daripada peringkat awal. Di sekolah dan tempat kerja, pemahaman tentang keadaan ini boleh membantu mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan menyokong.
Kesimpulannya, ekzema adalah penyakit kulit yang serius dan memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang, bukan sahaja dari segi fizikal, malah emosi dan sosial. Pesakit ekzema perlukan sokongan, bukan cemuhan. Oleh itu, masyarakat perlu lebih faham dan prihatin terhadap penyakit ini. Hanya dengan kesedaran dan sikap empati, kita boleh bantu pesakit ekzema untuk hidup dengan lebih selesa dan yakin diri.
Ekzema (Eczema) adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kegatalan, kemerahan, kekeringan, dan pendarahan pada kulit. Menurut Pengamal perubatan Am Dr. Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar, Universiti Perubatan Negeri Crimea di Russia, menyatakan bahawa kebanyakan pesakit yang menghidap ekzema boleh menguruskan ekzema dengan rawatan perubatan serta mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti atau tindakan yang boleh menyebabkan kerangsangan. Penyakit ini telah menjejaskan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, tetapi paling kerap diserang adalah kanak-kanak. Di Malaysia, kes ekzema semakin meningkat setiap tahun akibat daripada perubahan cuaca, pencemaran persekitaran dan tekanan hidup yang tinggi. Oleh itu, penyakit ini sepatutnya diberi perhatian yang lebih serius, bukan hanya oleh pesakit dan keluarga, tetapi juga oleh pihak sekolah.
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.