Lebih 1,000 orang Sertai Demonstrasi Aman Hari Nakbah

ke-77

16 MEI 2025

Oleh: WAN ALYA NABILAH

Penyunting: ASHIQIN AHMAD

Pengikut demonstrasi aman yang telah berlangsung di Ibu Kota bagi memperingati Hari Nakbah – Gambar: Wan Alya

KUALA LUMPUR, 16 Mei - Lebih 1,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah berkumpul dalam satu perarakan aman untuk memperingati ulang tahun ke-77 Peristiwa Nakbah, peristiwa yang melibatkan penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin dari tanah air mereka yang bermula pada tahun 1948.

Dengan tema "Berdiri Untuk Keadilan," perhimpunan pada petang Jumaat 16 Mei lalu bermula dari Bangunan Tabung Haji ke Suruhanjaya Tinggi United Kingdom dan berakhir di Kedutaan Amerika Syarikat.

Laungan solidariti dapat didengari, kibaran bendera Palestin serta poster yang mengecam kezaliman Israel dan meminta dunia menghentikan genosid Gaza banyak yang dinaikkan bagi memberi kesedaran kepada orang awam. 

“Bebas, bebas…bebas Palestine, hancur, hancur…hancur Zionis,” para pengikut melaungkan solidariti mereka. 

Perhimpunan juga menuntut kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa bersuara dengan lebih lantang terhadap jenayah Israel.

Sebagai wakil penganjur, Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail, pengerusi Boikot, Divestasi dan Sekatan (BDS) Malaysia, memulakan ucapan dengan memberikan peringatan mengenai kejadian hari Nakbah yang telah berlaku pada 1948. 

"Kami mengadakan program ini hari ini untuk mengingatkan tentang peristiwa Nakbah selama 77 tahun untuk memberitahu masyarakat dunia dan juga masyarakat Malaysia bahawa penindasan yang berlaku di Palestin telah berlangsung selama 77 tahun, yang merupakan tempoh yang sangat lama... dan ratusan ribu rakyat Palestin telah kehilangan nyawa mereka,” kata beliau. 

Nazari juga mengajak orang ramai untuk terus memboikot syarikat-syarikat yang menyumbang kepada genosid yang dilakukan oleh Israel. 

"Kita juga menyeru rakyat Malaysia memboikot syarikat-syarikat yang kita tahu sedang membantu Israel melakukan genosid dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin," katanya lagi. 

Beliau dengan tegas meminta rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri. Beliau menegaskan bahawa kecaman awam terhadap kekejaman ini mesti diteruskan tanpa henti sehingga kerajaan yang bersekongkol berhenti menyokong penindasan di Palestin.

Perhimpunan bermula dengan penyerahan memorandum peringatan Hari Nakbah kepada Kaunselor Politik United Kingdom, Ruzina Hassan, Suruhanjaya Tinggi United Kingdom dan kemudian berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat.

Lebih daripada tiga puluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertainya, yang terdiri daripada tokoh masyarakat, pelajar dan rakyat prihatin dari seluruh negara yang menyokong matlamat universal untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan.

Himpunan yang bermula dari sekitar jam 2.30 petang elah selesai pada jam 5.00 petang dengan bantuan beberapa anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal lalu lintas untuk menjaga keamanan dan kelancaran himpunan. 



Berita Tambahan

Oleh DINA HAZIQAH DALNI | 17 MEI 2025

Oleh NURASYIQIN FIRZANA | 14 MEI 2025

Mengenai kami

Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.