
Program Derma Darah Anjuran KIZ Sasarkan Kutipan 180 Beg Darah
14 MEI 2025
Oleh: NURASYIQIN FIRZANA MOHAMED YUNUS
Penyunting: ARIF DANIAl MOHD YUSSARDI
Sampel ujian pra-pendermaan darah - Gambar oleh Nur Hannah Hon
BANGI ‒ Sebanyak 180 beg darah disasarkan untuk dikumpulkan menerusi program derma darah yang dianjurkan oleh Kolej Ibu Zain (KIZ) dari jam 9 pagi hingga 5 petang dalam usaha menyokong keperluan bekalan darah negara dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Real Estate dan Pusat Darah Negara.
Menurut Ketua Program Derma Darah KIZ, Nur Hannah Hon, pelajar Sarjana Muda Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Tahun 3, program tersebut berjalan lancar dengan sokongan pelbagai pihak dan mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun ada penderma yang tidak dapat hadir kerana program diadakan pada hari bekerja.
Dalam usaha menggalakkan penyertaan khususnya dalam kalangan pelajar, Hannah menekankan pentingnya memberi kesedaran bahawa proses menderma darah adalah selamat dan tidak menyakitkan. “Saya sendiri telah menderma sebanyak 16 kali, dan rasanya hanya seperti digigit semut. Tidak perlu takut,” katanya sambil menasihati orang ramai agar mendapatkan tidur dan makan secukupnya sebelum menderma.
Hannah turut menyatakan bahawa derma darah merupakan satu bentuk sumbangan bermakna kepada masyarakat. “Bagi mereka yang tidak mampu menyumbang dari segi harta, cara ni dapat memberi kembali kepada komuniti. Derma darah juga membantu mengekalkan gaya
hidup sihat dan membakar sehingga 600 kalori bagi setiap sesi derma serta membantu membentuk sel darah baharu,” katanya.
“Terdapat beberapa individu yang hadir tetapi tidak memenuhi kriteria untuk menderma darah disebabkan beberapa faktor seperti tidak cukup berat badan, kurang tidur atau tidak melepasi kriteria kesihatan yang ditetapkan oleh pihak perubatan” ujar Hannah.
Program “Jom Derma Darah” turut dimeriahkan dengan kehadiran vendor makanan lokal yang menawarkan pelbagai pilihan juadah kepada peserta dan pengunjung untuk dinikmati selepas sesi menderma darah.
Program yang berlangsung pada Rabu lalu membuktikan bahawa kesedaran dan budaya sihat dalam kalangan warga kampus boleh dipupuk melalui kerjasama strategik antara universiti dan agensi luar, khususnya dalam menyokong inisiatif kesihatan awam seperti pendermaan darah.
Berita Tambahan
Oleh NAILI’ ALIAH SABIRN | 16 MEI 2025
Oleh SHURENDAR KANNATHASAN | 18 MEI 2025
Mengenai kami
Nadi Bangi adalah portal akhbar makmal Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebarang pandangan atau kandungan yang disiarkan tidak mewakili UKM. Ditubuhkan dengan objektif untuk menjadi suara warga kampus, Nadi Bangi menyajikan laporan berita, rencana khas, serta pandangan kritis berkenaan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar kampus.